Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil

Skuad Cegah COVID-19 MDLA
Tarikh : 24 Mar 2020  Sumber Berita: The MDLA Post
 

ENGKILILI, 24 Mac 2020 - Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) melaksanakan proses dekontaminasi di 2 kawasan pasar tamu dan sekitar "Poultry" di bawah kawasan pentadbirannya sebagai langkah nyah kuman penularan koronavirus (Covid-19).

Menurut Pemangku Setiausaha, Encik Tommy Anak Laman, proses berkenaan dilakukan di pekarangan tamu Engkilili dan tamu Lubok Antu serta sekitar "Poultry" daerah Lubok Antu bermula hari ini hingga 25 Mac 2020.

Beliau memberitahu, kerja-kerja disinfeksi itu melibatkan anggota Kesihatan Awam MDLA di kawasan terpilih serta menjadi tumpuan awam. Proses berkenaan bermula pagi hari ini melibatkan sekitar pasar tamu, pusat penjaja baru/lama dan "poultry" Engkilili.


"Pada hari ini pula MDLA membahagikan 2 pasukan menjalankan aktiviti dekontaminasi di 4 kawasan terpilih " katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pihak skuad cegah covid-19 (MDLA) melakukan aktiviti dekontaminasi di pasar tamu, Engkilili di sini hari ini.

Jelas Pn. Lentina (Pegawai PPKP U32) peralatan MDLA dalam melakukan aktiviti dekontaminasi adalah terhad dan kekurangan itu membataskan mereka untuk memberi perkhidmatan lebih meluas di kawasan tumpuan orang awam lain.

Katanya, pihak komuniti yang ingin melaksanakan langkah disinfeksi boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak Kesihatan Awam, Majlis Daerah Lubok Antu.

"Adalah diingatkan bahawa langkah ini hendaklah dilaksanakan dengan jumlah Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang lengkap dan teknik yang betul dalam memastikan bahawa semua langkah keselamatan diri telah diambil," ujarnya.

MDLA juga katanya, mengingatkan warga komuniti untuk mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa.

"Bersama-samalah kita berusaha mengekang penyebaran wabak Covid-19 ini dengan kekal berada di rumah masing-masing dan tidak mengadakan sebarang aktiviti di luar rumah kecuali bagi urusan seperti yang diwartakan dalam Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Pihak MDLA akan melakukan kerja-kerja dekontaminasi di sekitar tamu, pusat penjaja market, pusat penjaja tatai kenyalang dan "poultry" Lubok Antu esok (25 Mac 2020) bagi melaksanakan langkah nyah kuman Covid-19.